12 Februari 2010

Kurikulum baru mampu lahir pelajar cemerlang.

KUALA LUMPUR : Mantap dan lebih kondusif. Itulah reaksi pelbagai pihak yang menyambut naik Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang bakal diperkenalkan pada tahun 2011 dan mengharapkannya dapat melahirkan murid cemerlang selain bersemangat patriotik.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata pendekatan serampang dua mata itu diharapkan dapat melahirkan murid lebih berdaya saing.

"Kita gembira dengan kurikulum baru ini dan berharap penambahbaikan ini berterusan untuk membantu murid mencapai kecemerlangan seterusnya menuju cita-cita untuk mewujudkan pendidikan holistik. Saya juga berharap KSSR ini akan memperbaiki kelemahan kurikulum terdahulu serta meningkatkan penguasaan Membaca, Menulis dan Mengira (3M) terutama untuk murid di luar bandar.

"Untuk membolehkan KSSR mencapai sasaran, pendidikan prasekolah juga penting untuk persiapan bakal murid tahun satu mengenali dan memahami kemahiran asas sebelum melangkah ke alam persekolahan," katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini semalam.

Mohamad Ali berkata, pendekatan KSSR yang lebih kepada aktiviti dua hala selain program seperti muzik dan seni antara cara terbaik untuk mengenalkan pelajar Tahun Satu dengan alam persekolahan menyeronokkan.

"Ini penting kerana kita tidak mahu murid terasa bosan dan juga membentuk semangat patriotisme dalam jiwa kanak-kanak di alam persekolahan," katanya.

Petikan Berita Harian, halaman 6 bertarikh 4 Januari 2010.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan