02 April 2010

Cintai Persekitaran.

Universiti Putra Malaysia (UPM), memilih empat sekolah menengah sebagai sekolah angkat dalam usaha memupuk pelajar mencintai alam sekitar melalui penyertaan Kem Eco-Bia@Air Hitam di Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong, Selangor baru-baru ini.

Seramai 40 pelajar Sekolah Meningah King George V, Seremban, Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki, Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nenas, Kuala Lumpur dan Sekolah Sri Puteri, Cyberjaya dipilih menyertai kem berkenaan.

Dekan Fakulti Perhutanan UPM, Prof Madya Dr. Awang Noor Abd Ghani, berkata program anjuran fakultinya itu bagi menggalakkan pelajar berkecimpung dan peka dalam bidang sains alam semula jadi.

Usaha perlu dilakukan bagi menerapkan semangat cintakan alam sekitar yang semakin terhakis di kalangan remaja. Ia mampu mendidik pelajar menghargai fungsi alam sekitar dalam kehidupan seharian masyarakat, katanya pada majlis perasmian kem itu.

Beliau berkata, kaedah pendidikan alam sekitar boleh dilakukan dalam pelbagai cara sama ada teori atau praktikal dan dilaksanakan secara meluas oleh masyarakat.

Sementara itu, guru pengiring, Nur Atikah Abdullah dari Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nanas, Kuala Lumpur berkata, program ini memdedahkan pelajarnya mengenai pemuliharaan alam sekitar.

Sebagai alumni UPM, inisiatif dilakukan dalam projek ini memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai proses pembelajaran, pengajaran, kemudahan dan fasilitis di institut pengajian tinggi, katanya.

Beliau berkata, pendedahan awal pelajar mengenai pemuliharaan alam sekitar dapat membantu negara mengekalkan kawasan hijau.

"Masyarakat yang menghargai alam sekitar bukan dapat membantu negara mengekalkan keindahan, malah dunia untuk mengatasi masalah pemanasan global,"katanya.

Sumber : Halaman 28, Berita Harian. 30 Mac 2010, ruangan pendidikan.