08 Mac 2010

Pupuk Minat Membaca Sejak Kecil.

"Membaca Jambatan Ilmu" dan "Bangsa Membaca Bangsa Berjaya" adalah antara slogan yang sering dikaitkan dengan tabiat dan budaya membaca. Membaca dapat menambah ilmu pengetahuan kepada seseorang sehingga boleh menjadikan mereka berjaya dan disegani.



Budaya membaca perlu sentiasa dipupuk dann dilaksanakan secara berterusan untuk membolehkan seseorang itu mengamalkannya sehingga menjadi gaya hidup dan tidak hanya tertumpu kepada buku pelajaran sahaja.



Sehubungan itu, pelbagai kempen dilakukan kerajaan bagi meningkatkan kesedaran membaca dalam kalangan rakyat termasuk program Mari Mambaca 1Malaysia yang dilancarkan Menteri Penerangan Komunikasi dan kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim, baru-baru ini.



Mari Membaca 1Malaysia bertujuan memperkasakan kempen galakan membaca melalui kerjasama sektor korporat dan pembabitan badan sukarela dengan pelbagai program yang memberikan manafaat kepada semua pihak termasuk murid sekolah.



Ketua Bahagian Pinjaman, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Puan Shahliza Adanan, berkata pelbagai aktiviti dilaksanakan sepanjang tahun bagi tujuan ini. Katanya, PNM mengadakan pelbagai aktiviti untuk murid sekolah rendah seperti 'Reading is Fun', Jejak Maklumat dan pertandingan bercerita.



Menerusi aktiviti yang disediakan, murid akan melihat membaca itu sesuatu yang sangat menarik dan menghiburkan, misalnya mereka perlu membaca sebelum menyertai pertandingan bercerita dan mendapatkan maklumat daripada buku sebelum menyertai kuiz Jejak Maklumat.



"Program seperti bengkel, ceramah dan memperkenalkan ikon kanan-kanak yang berjaya juga disusun bagi menarik minat murid pelbagai tahap umur untuk membaca", katanya.



Menurut Puan Shahliza, minat membaca boleh disemai sejak kecil dari rumah lagi dan ibu bapa perlu memberi dorongan seperti menjadikan membaca aktiviti keluarga serta memilih bahan bacaan yang sesuai yang boleh dimulakan dengan buku yang mempunyai gambar atau ilustrasi menarik.

Katanya, PNM turut menyediakan pinjaman berkelompok kepada perpustakaan, iaitu sebanyak 300 naskah buku dalam tempoh pinjaman selama tiga bulan bagi membantu memperbanyakkan bahan bacaan.

"Menerusi pinjaman ini, sekolah yang kekurangan buku boleh menggunakannya untuk menampung keperluan murid dan ini boleh membantu program Nilam," katanya.

Petikan Didik - Berita Harian, halaman 2, bertarikh 8-10 Mac 2010 bil 776.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan